Pengertian Hijab
Perkataan hijab berasal dari bahasa Arab. Pengertian asalnya ialah tabir atau sesuatu yang menjadi pengantara antara dua benda.
Dalam Fiqh Islam, hijab dalam pengertian yang khusus adalah satu istilah yang bermaksud sesuatu yang menutup aurat wanita dari pandangan lelaki1.
Pengertian khusus ini sudah semakin difahami oleh masyarakat Islam hari ini kerana peningkatan kefahaman terhadap Islam. Ini boleh dilihat dengan bertambah jumlah wanita Islam yang memakai hijab di luar rumah mereka. Walau bagaimana pun, ramai yang tidak sedar bahawa hijab juga mempunyai pengertian yang lebih luas dari hanya mengenakan pakaian yang menutup aurat bagi kaum wanita. Disebabkan itu, kita juga mendapati ada di kalangan wanita yang memakai hijab tetapi melakukan tindakan yang bercanggah dengan konsep hijab yang luas dalam Islam.
Pengertian Yang Luas
Hijab dalam pengertian yang lebih luas ialah batas-batas yang ditetapkan oleh Islam dalam perhubungan lelaki dan wanita yang bukan suami isteri. Jika kita teliti lebih mendalam, kita akan mendapati bahawa Islam telah meletakkan batas-batas berikut bagi menjaga kesejahteraan hubungan wanita dan lelaki di luar ikatan pernikahan;
1. Menutup aurat.
Islam mewjibkan wanita menutup aurat berdasarkan dalil-dalil berikut;
Firman Allah taala yang bermaksud
“Wahai Nabi! Suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar) cara yang demikian itu lebih sesuai untuk mereka dikenali (sebagai perempuan baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah maha Pengampun dan Maha Mengasihani”(Al-Ahzab : 59)
“....dan janganlah mereka (perempuan beriman) memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka.....”(An-Nur : 31)
Majoriti ulama’ berpendapat bahawa aurat wanita di hadapan lelaki lelaki-lelaki yang dibenarkan2 ialah seluruh tubuhnya kecuali muka dan telapak tangan. Ini berdasarkan hadith berikut yang menghuraikan pengertian ayat di atas;
1 Lihat Ensiklopedi Hukum Islam, terbitan PT Ichtiar Baru Van Hoeve, Jakarta, 1997, bab Hijab, jilid 2, ms 545.
“Wahai Asma’! Bila seorang gadis telah akil baligh, tidaklah wajar anggota tubuhnya dilihat orang (lelaki) melainkan ini dan ini (sambil baginda menunjukkan pada muka dan telapak tangannya)”(Riwayat Abu Dawud)3
Mazhab Maliki dan Syafi’i memasukkan telapak kaki ke dalam aurat manakala mazhab Hanafi tidak memasukkannya4.
Perhatian!! Walau pun wanita tidak diwajibkan menutup seluruh tubuhnya di hadapan lelaki yang dinyatakan dalam surah An-Nur : 31 (lihat notakaki 2), ini tidak bermakna tiada kewajiban hijab antara wanita dengan mereka. Kaum wanita tetap wajib berhijab dengan menutup bahagian tubuh yang di antara pusat dan lutut.
Dalam menutup aurat atau berpakaian, seorang wanita haruslah memastikan berikut;
a) Seluruh anggota tubuhnya terlindung kecuali apa yang dibenarkan.
b) Pakaiannya tidak menampakkan susuk tubuh kerana sempit, ketat atau jarang.
c) Tiada perhiasan, rekabentuk dan warna yang melampau yang menarik perhatian lelaki.
d) Bukan untuk menunjuk-nunjuk.
e) Tidak boleh menyerupai wanita bukan Islam atau mereka yang rendah akhlaqnya.
f) Tidak boleh menyerupai lelaki
1. Memakai wangi-wangian.
Memakai wangi-wangian adalah sebahagian dari hijab dalam Islam kerana seorang wanita hendaklah tidak memakainya sehingga dihidu oleh lelaki-lelaki selain suami dan mahramnya. Ini berdasarkan hadits Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud
“Jika salah seorang dari kamu mendatangi masjid maka janganlah memakai wangi-wangian” (Riwayat Muslim)
“Mana-mana wanita yang memakai wangi-wangian dan lalu di majlis lelaki sehingga terhidu baunya maka sesungguhnya ia adalah penzina”(Riwayat At-Turmuzi)
Sekiranya memakai wangi-wangian untuk beribadah di masjid dilarang maka untuk tujuan lain tentunya lebih terlarang.
Wangian di sini tidak semestinya dalam bentuk minyak wangi (perfume) tetapi ia meliputi apa jua yang boleh mewujudkan bau harum pada tubuh wanita seperti sabun, sampu dan bedak yang harum.
2 Lelaki yang dibenarkan di sini bermaksud suami, bapa, bapa mertua, anak-anak lelaki, anak-anak tiri lelaki, adik beradik lelaki, anak-anak saudara lelaki, hamba-hamba lelaki, kanak-kanak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Ini berdasarkan dalil dalam surah An-Nur : 31.
3 Nailul Autar, jld 6, ms 252.
4 Al-Mughni, jld 1, ms 601.
Islam tidak melarang sama sekali wanita dari mengenakan wangi-wangian. Ia dibenarkan untuk tujuan melayan suami, bersama mahram yang lebih terjamin dari fitnah atau sekadar untuk menghilangkan bau badan sahaja.
Perkara ini tidak disedari oleh ramai kaum wanita sehingga seringkali kita akan berjumpa wanita yang mengenakan hijab dari segi pakaian tetapi terhidu dari tubuhnya wangian yang semerbak dan menarik perhatian lelaki sama seperti sekiranya ia tidak berhijab pakaian.
3. Tetap dirumah.
Sebahagian dari tuntutan hijab bagi wanita ialah untuk tetap dirumah. Ini berdasarkan pada firman Allah taala yang bermaksud
“...dan tetaplah di rumah-rumah kamu (isteri-isteri nabi)...”(Al-Ahzab : 33)
Ayat ini adalah perintah ke atas isteri-isteri Rasulullah s.a.w. Ulama’ telah berselisih samada ia juga merupakan perintah umum ke atas semua wanita. Di sisi pandangan yang ringan dari kalangan ulama, ia bukan perintah wajib ke atas semua wanita tetapi menunjukkan kebaikan bagi kaum wanita untuk lebih sering tetap di rumah.
Islam membenarkan wanita untuk keluar rumah jika mempunyai keperluan samada keperluan peribadi seperti ke pasar atau keperluan umum seperti berdakwah, mengajar atau melakukan kerja-kerja kemasyarakatan atas batas yang dibenarkan.
Professor Arnold J. Toynbee berkata
“Daripada fakta sejarah, jangka masa kemunduran terjadi apabila wanita wanita-wanita keluar meninggalkan rumah”
Pengabaian wanita terhadap tugas rumahtangga telah menjadi faktor yang menyebabkan kejatuhan sesebuah bangsa daripada dua sudut. Pertama, ia menyebabkan sebahagian besar masyarakat terbiar daripada kehidupan yang sempurna dan banyak masalah tidak dapat diuruskan tanpa pelibatan orang yang pakar dalam hal itu. Kedua, ia mengubah corak perhubungan antara suami dan isteri dalam usaha mengejar kemajuan di luar rumah. Sejarah telah membuktikan bahawa orang yang mengikut jalan ini tidak akan berjaya6.
4. Tutur kata dan Suara.
Termasuk dalam hijab bagi wanita ialah menjaga gaya tutur kata dan pertuturannya. Ia hendaklah tidak dalam gaya atau mempunyai unsur yang boleh menarik perhatian lelaki samada secara sengaja melakukan sedemikian atau secara tidak sengaja seperti gaya pertuturan yang manja atau dimanja-manja atau penggunaan perkataan yang memberahikan. Ini berdasarkan firman Allah taala yang bermaksud
5 Lihat Ensiklopedia Sirah, terbitan Dewan Bahasa & Pustaka, 1993, jld 5, ms 717. Lihat juga World Review, Mac, 1949.
6 Lihat Ensiklopedia Sirah, terbitan Dewan Bahasa & Pustaka, 1993, jld 5, ms 60.
“Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian itu boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk terhadap kamu) dan berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan).”(Al-Ahzab : 32)
Sebahagian ulama menjadikan ayat ini sebagai dalil bahawa suara wanita adalah aurat juga. Walau bagaimana pun semua bersetuju, walau pun di sisi mereka yang berpendapat bahawa suara bukan aurat bagi wanita, bahawa wanita tidak boleh bertutur dengan gaya yang boleh menimbulkan tarikan lelaki terhadapnya.
Gaya jalan.
Termasuk dalam hijab ialah gaya jalan seorang wanita. Ini berdasarkan pada firman Allah taala yang bermaksud
“...dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka ....”(An-Nur : 31)
Ayat ini mengharamkan wanita memakai pergelangan kaki yang berloceng sehingga apabila ia berjalan loceng itu berbunyi dan menarik perhatian seorang lelaki kerana ayat ini diturunkan merujuk kepada perbuatan wanita jahiliah yang sedemikian. Berdasarkan ayat ini juga, wanita dilarang memakai pergelangan tangan yang mengeluarkan bunyi loceng yang menarik perhatian dan larangan wanita dari melenggok-lenggok tubuh badannya sehingga menarik perhatian lelaki.
Kerana kurang kefahaman, amalan memakai alat perhiasan berloceng ini di dapati juga di kalangan wanita yang memakai hijab pakaian.
6. Tidak boleh berkhalwat.
Berkhalwat bermaksud berdua-duaan di tempat yang terasing dengan lelaki yang bukan mahram. Larangan ini wujud dalam hadith Rasulullah s.a.w yang bermaksud
“Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat maka janganlah berkhalwat dengan seorang wanita tanpa bersamanya mahram kerana yang ketiga dari mereka adalah syaitan”(Riwayat Ahmad)
7. Berjabat tangan dan bersentuh kulit.
Termasuk dalam hijab wanita ialah menjaga aspek ini kerana hadith-hadith berikut yang bermaksud;
“Andaikata kepala salah seorang dari kamu dicucuk dengan jarum besi, maka itu lebih baik baginya dari menyentuh wanita yang tidak halal baginya”(Riwayat At-Tabrani & Al-Baihaqi)
Ini adalah pandangan yang lebih kuat yang menjadi pegangan majoriti ulama’ kecuali mazhab Maliki.
Ini juga aspek hijab yang masih diabaikan oleh kebanyakan wanita.
8. Tunduk pandangan.
Bagi memenuhi tuntutan hijab, Islam juga memerintahkan wanita menundukkan pandangannya dari melihat lelaki. Ini berdasarkan firman Allah taala yang bermaksud
“Dan katakanlah kepada wanita-wanita mukminah agar mereka menundukkan pandangan mereka”(An-Nur : 31)
Menunduk pandangan bukan hanya perintah ke atas orang lelaki dari melihat wanita. Walau pun seorang lelaki berpakaian menutup aurat namun ia tidak bermakna boleh seorang wanita melihatnya tanpa tujuan yang dibenarkan begitu juga lelaki.
9. Bersolek dan menghias diri.
Hijab juga meliputi aspek bersolek dan menghias diri. Ini berdasarkan firman Allah taala yang bermaksud
“...dan janganlah kamu mendedahkan diri (bersolek) seperti cara orang Jahiliah zaman dahulu....”(Al-Ahzab : 33)
Bersolek ini meliputi solekan pada pakaian dan tubuh. Islam membenarkan solekan dan hiasan bagi wanita di hadapan mahram atau untuk melayan suami.
Di sini juga kita dapati setengah-setengah wanita yang berhijab pakaian tetapi tubuhnya, terutama wajah, dihiasi dengan pelbagai solekan yang menarik perhatian lelaki.
Demikianlah luasnya tuntutan hijab ke atas wanita yang melampaui aspek pakaian dan tudung semata-mata. Seharusnyalah wanita-wanita Islam memahaminya dan berusaha untuk melaksanakannya. Batas-batas ini bukanlah satu kongkongan tetapi ia mengandungi hikmah dan kebaikan yang ditetapkan oleh Allah taala Yang Maha Bijaksana
Di Sebalik Batas-batas
Hikmah disebalik pensyariatan batas-batas hijab yang dinyatakan di atas ialah
a) Memelihara kehormatan wanita dari pencerobohan.
b) Memelihara wanita dari segala bentuk eksploitasi.
c) Membolehkan wanita dinilai dari sudut intelek, ilmu, kemahiran dan keperibadian bukan dari sudut kecantikan dan tubuh badan.
d) Memelihara lelaki dari terjerumus dalam dorongan nafsunya.
e) Memelihara manusia dari terjebak dalam maksiat seperti tingkah laku lucah, pornografi, rogol, cabul, perzinaan dan seks bebas.
Zina adalah maksiat yang besar yang dicegah oleh Islam. Allah taala berfirman yang bermaksud
“Dan janganlah kamu mendekati zina. Sesungguhnya ia adalah satu kejahatan dan seburuk-buruk jalan.”(Al-Isra’ : 32)
Keburukan zina diakui oleh semua bangsa dan agama. Maka sebab itulah, Islam memberatkan hukuman bagi penzina dan mengetatkan batas-batas hijab bagi menutup pintu zina.
Matlamat tertinggi dari segala batas-batas ini ialah mewujudkan satu kehidupan sosial yang stabil dan sejahtera. Kehidupan yang membezakan antara manusia dan haiwan.
Dengan mengamalkan hijab seperti yang dianjurkan, tidak menjamin kesejahteraan masyarakat 100% dari maksiat yang hendak dicegahnya. Ini adalah satu perkara yang mustahil. Hatta di zaman Rasulullah s.a.w sendiri zina dan maksiat lain tetap berlaku.
Apa yang Islam hendak pastikan ialah meminimakan maksiat sehingga sehingga ia tidak berleluasa seperti hari ini dan kewujudannya tidak mempengaruhi kesejahteraan sosial masyarakat. Berbanding dnegan kehidupan hari ini, maksiat yang ada begitu berleluasa sehingga anak kecil tidak terselamat dari terdedah kepadanya melalui media massa dan kehidupan seharian.
Kesimpulan
Hijab seorang wanita ialah dengan menjaga penampilan zahirnya dari sudut pakaian dan perhiasan serta tingkah laku dan gaya tubuh badan bagi mengelakkan tarikan lelaki terhadapnya dan dorongan nafsunya terhadap lelaki. Ada di antara perkara ini yang telah tetap, tidak berubah. Ada yang perlaksanaannya merujuk pada persekitaran dan adat dan ada pula yang wujud khilaf ulama di dalamnya.
Dalam rangka seseorang mempunyai pilihan antara pelbagai pandangan ulama’, ia mempunyai pilihan untuk memilih di antara pandangan-pandangan itu selama mana ia memahami dalil dan hujah di sebaliknya.
Adalah penting untuk diingatkan, agar kita tidak memilih di antara pandangan-pandangan ulama’ semata-mata kerana mencari kemudahan, meringan-ringan dalam beramal, kerana malu atau segan, kerana ikut-ikutan atau apa jua sebab keduniaan.
Wanita hanya tidak berkewajiban untuk berhijab 100% hanya kepada seorang lelaki yang merupakan suami kepadanya.
nice blog..follow kamu..:)
ReplyDelete