Wednesday, October 6, 2010

Masa dan Apa Yang Kau Buat Dengannya





Bagi saya, semakin panjang tempoh cuti; contohnya cuti semester, summer holiday, dan juga tidak terkecuali cuti selepas tamat SPM, semakin lama rasa bosan yang dialami. Saya percaya orang lain juga mempunyai pendapat yang sama seperti saya. Meskipun waktu cuti adalah waktu yang paling didambakan, lebih-lebih lagi pada musim peperiksaan, namun kebosanan yang melanda menyebabkan musim persekolahan harian tiba-tiba dirindui. Sekurang-kurangnya ada juga tujuan hidup yang perlu dicapai dalam ingatan kita.


Atas kesedaran akan pentingnya masa itu, maka saya cuba melakukan cubaan pertama untuk menggunakan masa cuti musim panas saya untuk mempelajari perkara-perkara yang tiada sangkut-paut dengan akademik, supaya akhirnya bermatlamat juga cuti saya. Saya mulakan dengan membaca sebuah buku yang sudah menjadi 'jeruk' di rumah gara-gara tidak sempat dihabiskan sebelum terbang ke Ireland sementara menanti buku baru yang dibeli secara online yang entahkan bila akan tiba. Seminggu sudah berlalu namun buku itu belum sampai setengah pun yang habis dibaca disebabkan kelajuan membaca saya yang seperti sedikit perlahan.


Keberkatan Masa


Albert Einstein, manusia yang didakwa terpintar pada abad 21 pernah mengemukakan teori relatif masa. Beliau mendakwa masa itu bersifat relatif. Bagi satu tempoh masa yang sama, panjang dan pendeknya masa itu dialami secara berbeza bagi setiap individu. Misalannya: tempoh satu jam dirasakan amat lama bagi seseorang yang sedang menanti waktu berbuka puasa manakala tempoh satu jam dirasakan sangat sekejap bagi orang yang sedang menjalani peperiksaan kertas Economy Paper 1.


Namun hakikatnya, konsep relativiti ini sudah lama difahami oleh ulama-ulama silam. Konsep ini diterjemahkan dalam bentuk keberkatan masa dan umur. Seseorang yang dikurniakan dengan keberkatan masa tentulah tidak sama dengan orang yang tidak dikurniakan dengan kelebihan ini. Lihat sahaja ulama silam, kebanyakan daripada mereka boleh menghafal beratus-ratus hatta beribu-ribu hadis dan menulis berpuluh-puluh buku sepanjang tempoh hidupnya yang sesetengahnya hanya lebih sedikit daripada setengah abad. Tentulah hal ini tidak dapat dilakukan oleh seseorang yang hidupnya dihabiskan dengan bermain Playstation 24 jam sehari, tujuh hari seminggu, melayari Facebook berjam-jam atau menonton drama Korea atau filem-filem terbaru secara maraton.


Islam sangat menitikberatkan masa. Malahan kebaikan iman seseorang itu dikaitkan dengan kemampuannya mengurus masa dengan baik. Tambahan pula, umur terlampau singkat untuk dihabiskan untuk benda yang remeh-temeh apatah lagi dihabiskan untuk saling hasad dengki, berdendam, mengadu domba dan apa-apa sahaja yang sewaktu dengannya. Suka menangguhkan kerja serta amal ibadah bukanlah tabiat mereka yang sempurna imannya.



Abdullah bin Umar berkata:

"Apabila kamu berada pada waktu petang, janganlah kamu menanti pagi dan apabila kamu berada di pagi hari janganlah kamu menanti petang." (Hadis Bukhari)


Imam al-Ghazali dalam Ihya Ulumuddin berkata:

"Jangan ditangguhkan kerja-kerja ini ke masa hadapan kerana kemungkinan nyawa kamu dicabut semasa kamu sedang menangguhkan."


Masa Adalah Makhluk


Sesuatu yang perlu difahami tentang masa ialah masa bersifat makhluk. Oleh itu masa itu sama sahaja tarafnya dengan makhluk-makhluk lain seperti manusia, tumbuh-tumbuhan, mahupun haiwan. Kita diciptakan dan diletakkan di bawah kekuasaan masa. Maka tiada siapa yang mampu menghalang atau merubah masa kerana masa itu bergerak di bawah perintah yang Maha Pencipta. Justeru apabila tibanya kiamat, masa turut sama terhapus dan sebab itulah waktu di akhirat tiada penghujungnya (infiniti).


Harta yang hilang mungkin boleh dicari, ilmu yang sedikit boleh ditambah namun masa yang hilang tidak boleh diganti. Saidina Ali juga pernah mengingatkan bahawa; "Masa ibarat pedang; jika kamu tidak memotongnya nescaya dia akan memotong kamu." Marilah kita sama-sama agar tidak berterusan menjadi 'siput' dalam melakukan sesuatu sedangkan masa bergerak lebih laju daripada itu.





No comments:

Post a Comment